Monday 21 April 2014

Sabar Diperlukan Setiap Masa

Amalan doa harian memupuk kesabaran





"SABAR"

Satu perkataan ringkas yang memberi impak yang besar pada diri manusia. Sifat sabar ini berjaya ‘memandu’ tindakan manusia dalam kehidupan seharian. Adanya sifat sabar ini membolehkan ramai manusia hidup dalam keadaan aman damai seperti sekarang.
Dengan sifat sabar, seorang guru mampu terus menjadi seorang guru walaupun berhadapan dengan ragam pelajar yang bermacam-macam kerenah.
Dengan sifat sabar, seorang ibu mampu membesarkan anak-anak yang ramai walaupun ketika kecil, anak-anak biasanya sangat nakal dan tidak mendengar kata kerana mereka masih tidak memahami kata-kata ibunya.
Dengan sifat sabar, hubungan persahabatan terus berkekalan walaupun kadang-kadang dalam bersahabat, kita selalu diuji dengan sikap rakan yang mengundang rasa kecil hati.
Dengan sifat sabar, ramai manusia telah berjaya menjadi orang hebat kerana berjaya melalui pelbagai kesusahan ketika menuntut ilmu.
Dengan sifat sabar, suami dan isteri terus bahagia menjalani kehidupan walaupun setiap pasangan biasanya akan diuji sepanjang berada di alam rumah tangga. Kata orang, ‘sedangkan lidah lagikan tergigit, inikan pula suami isteri’.
Cuba bayangkan situasi di mana sifat sabar ini sudah tidak ada langsung dalam diri manusia, walaupun sekelumit.
Tanpa sifat sabar, bilangan guru akan berkurang kerana ramai orang yang tidak sanggup lagi menjadi guru untuk melayan kerenah pelajar yang kadang-kadang mengundang rasa marah dan sedih di hati.
Tanpa sifat sabar, anak-anak kecil akan membesar dalam keadaan yang tegang tanpa kasih sayang kerana tidak ada lagi sifat sabar dalam diri ibu bapa dalam sepanjang membesarkan anak-anak kecil yang masih tidak mengerti.
Tanpa sifat sabar, hubungan persahabatan tidak lagi seindah yang dirasakan sekarang kerana setiap orang tidak dapat bersabar lagi dengan sikap rakan masing-masing dan tiada lagi sifat sabar dalam diri yang mendidik hati berlapang dada dan saling memaafkan.
Tanpa sifat sabar, tiada lagi lahirnya orang-orang hebat kerana semua orang tidak sanggup menghadapi kesukaran ketika belajar dan berputus asa saat-saat diuji dengan kesukaran.
Tanpa sifat sabar, alam rumah tangga tidak akan bertahan lama kerana tiada lagi sifat sabar dalam diri pasangan masing-masing untuk bertolak ansur antara satu sama lain.
Firman Allah SWT yang bermaksud:
"Maka bersabarlah (wahai Muhammad terhadap ejekan golongan kafir itu), dengan cara kesabaran yang sebaik-baiknya."
[Surah Al-Ma’aarij: 5]
Ketika sedang menahan marah dan menahan sedih, ayat ini boleh memberi motivasi kepada sesiapa pun. Bagaimana Allah memerintahkan manusia untuk bersabar, malah bersabar dengan kesabaran yang baik. Sememangnya dirasakan sabar ini merupakan sesuatu yang sangat perit sehingga kadang-kadang hati  mengeluh.
 Asyik sabar je, penat dah sabar ni!
Apabila bersabar, manusia sebenarnya dianugerahkan satu rasa yang tidak semua orang mampu merasainya, iaitu rasa ketenangan. Ketenangan ini bukan semua orang mampu merasainya melainkan orang-orang yang menjalani kehidupan mengikut apa yang Islam anjurkan.  Percayalah dengan sifat sabar ini, dalam keadaan tidak sedar telah menyelamatkan banyak hubungan persahabatan daripada terputus, dengan sifat sabar ini boleh hidup aman damai seperti sekarang, dengan sifat sabar ini dirasakan seperti menjadi dewasa sehingga kini. Lihatlah betapa besarnya impak sabar untuk menjadi kehidupan harmoni.
Untuk manusia yang sedang diuji, dalam hati ini hanya ada dua pilihan, sama ada nafsu ataupun iman. Jika kita memilih iman iaitu dengan bersabar, insyaAllah akan diberi ketenangan untuk membantu menguatkan diri mengambil tindakan yang tidak memburukkan lagi keadaan.
 Jika manusia itu mampu meletakkan diri di tempat manusia yang lain, manusia itu tidak akan menzalimi sesama manusia lagi.
Sabar itu bukan perlu pada waktu-waktu tertentu sahaja, tetapi sabar perlu setiap masa dan di mana jua kerana hidup manusia tidak pernah lari dari diuji dengan pelbagai jenis dan bentuk ujian. Teruskan langkah dalam kehidupan ini tanpa menoleh ke belakang lagi, kerana di depan sana ada syurga menanti kita. Cubalah memahami untuk diri kita difahami, cubalah bertolak-ansur, supaya orang lain juga mudah bertolak ansur dengan kita.  Nasihat ini untuk diri saya sendiri, dan juga untuk kamu wahai sahabat.

Suami perlu tingkatkan kesabaran

1 comment:

amir asyraff said...

sabar itu madu yang jarang disedari orang. salam ziarah dan follow blog ni.

 
Smiley