Friday 2 May 2014

STRES? TAK KISAH PUN

Ada sesuatu isu yang menarik untuk kita fikirkan dan kongsi bersama iaitu berkaitan dengan stres. Mungkin dalam kalangan kita pernah berhadapan dengan situsi stres sebegini; ketika sedang sibuk membuat tugasan menggunakan komputer, pendrive dipenuhi virus. Habis semua fail hilang sedangkan esok ialah tarikh terakhir menghantar assignment.

Atau, tatkala sibuk membuat persediaan peperiksaan, nota paling penting kita tercicir. Membayangkan keadaan tersebut, stres kita dibuatnya. Juga, belum selesai satu masalah, bertambah lagi satu masalah yang lain. Serabut jadinya, bak kata pepatah: "Sudah jatuh, ditima tangga."

Ayuh berusaha berhadapan dengan situasi tersebut dan menyelesaikannya. Kata orang: "All is well." Ada 3 tip terapi ketika stres:
1) Semak & Seimbang
Ini kaedah check dan balance atau disebut muhasabah. Apabila menghadapi stres, cuba semak kembali hubungan dengan Allah. Adakah intim ataupun renggang dengan-Nya? Jika renggang, seimbangkan semula hubungan dengan-Nya.



Seterusnya, carilah keseimbangan itu melalui Al-Quran. Berinteraksilah dengan Allah melaluinya. Selagi mana kita sentiasa bersandar segala urusan kepada Allah, stres yang dihadapi pasti tidak dirasai. Bahkan mungkin kita pula tidak menyedarinya. Hal ini kerana kita sentiasa bersangka baik dengan Allah dalam setiap liku kehidupan.


Jika ingin jaga hubungan dengan Allah, dirikanlah solat. Jika ingin berinteraksi dengan-Nya, selaklah lembaran manual kehidupan kita iaitu Al-Quran dan terjemahannya.

2) Ekspresi Positif
Rata-rata dalam kalangan kita melepaskan tekanan dengan cara yang salah. Ada yang melakukan vamdalisme, buang masa, melepak dan sebagainya. Sebenarnya cara itu tidak menyelesaikan masalah, bahkan menimbulkan masalah yang lain pula.

Apa kata, sesekali ketika stres, lahirkannya kepada seseorang yang dipercayai. Siapa yang kita percaya? Jika segan, mungkin boleh ambil alternatif lain iaitu dengan menyenaraikan satu persatu.

Lalu selesaikan yang utama terlebih dahulu sedikit demi sedikit. Mungkin ada yang tidak selesa dengan idea ini. Maka, cuba selesaikannya dengan mengubah gaya hidup. Lakukan aktiviti secara berkumpulan dan luangkan masa untuk diri tetapi jangan menyendiri.

Dengan mengekspresikan tekanan kepada aktiviti yang positif akan membantu kita menghilangkan stres. Jika hanya memendam rasa, takut-takut boleh membarah menjadi bom jangka. Tunggu masa sahaja.

Ekspresikan stres dengan perbuatan positif dan bermanfaat. Percayalah itu boleh menenangkan jiwa sendiri dn orang lain.

3) Hiburan
Hiburan seperti muzik merupakan halwa telinga yang boleh menenangkan jiwa, membangkitkan semangat dan mengilangkan tekanan serta lelah. Cuba lihat ketika perang Khandaq, para sahabat bertungkus-lumus membuat parit di tanah yang keras dan berbatu.

Bagi menghilangkan rasa lelah dan membangkitkan semangat untuk terus menggali parit, para sahabat bersama-sama menyanyikan bait-bait syair. Semuanya itu bagi menghilangkan kepenatan dan tekanan.

Namun, muzik dan hiburan yang dipilih ada batasannya. Elakkanlah muzik-muzik keras kerana ia bukan sahaja tidak membantu menghilangkan stres, tetapi juga boleh merosakkan gegendang telinga kerana muzik terlalu bingit.

Berhibur itu tidak salah, terjebak dengan hedonisme itu yang salah.


ALTERNATIF LAIN
Pakar psikologi ada menyebutkan bahawa memelihara ikan juga boleh menjadi terapi stres. Selain itu, berkunjung ke tempat-tempat seperti air terjun, tasik, taman juga boleh meredakan tekanan seseorang.




Sebaiknya, untuk mengatasi stres ini bergantung pada kebijaksanaan kita mengurusnya dengan mengenali kemampuan dan ketahanan diri. Belajarlah menghadapi kehidupan dengan matang dan selalulah berfikiran positif. InsyaAllah semuanya akan baik.

Sumber: Majalah Gen-Q Isu No. 32

No comments:

 
Smiley